Friday, October 30, 2009

Suami isteri perlu ucap I Love You

Suami isteri perlu ucap I Love You
OLeh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM
perkahwinan mampu berkekalan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing.

Daripada mafhum ayat di atas sesungguhnya Allah menjelaskan bahawa di antara hikmah pernikahan antara lelaki dan wanita itu supaya dapat diwujudkan perasaan saling mencintai dan mengasihi di antara mereka.
Oleh kerana itu, Rasulullah turut menganjurkan kepada umatnya untuk menikahi seorang wanita yang dapat mewujudkan mawaddah (kasih sayang) dan rahmah dalam rumah tangganya.
Dewasa kini, penceraian di kalangan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga sangat berleluasa yang dikhuatiri menjadi trend dalam masyarakat Islam.
walaupun penceraian dibenarkan dalam Islam tetapi ia merupakan satu perkara halal yang dibenci oleh Allah. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW maksudnya: "Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak". (riwayat Abu Daud dan Hakim)
Sesungguhnya perkahwinan bukan sekadar untuk melampiaskan nafsu yang ada di dalam diri, bukan setakat untuk melahirkan zuriat penyambung keturunan. Perkahwinan adalah sebagai satu mahligai cinta dan lambang kasih sayang.
Menyedari hakikat itu, bahagian Keluarga, Sosial dan Masjid (Kesuma), Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) menganjurkan seminar Rumahku Syurgaku 'Sanjungan Kasih Syurga di Hati' di Putrajaya, baru-baru ini.
Ia bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya ilmu kekeluargaan serta memantapkan institusi keluarga dalam mendepani ancaman dan cabaran globalisasi.
Dalam seminar yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan, Puan Sri Noorlina Wan Hussain, satu forum bertajuk 'Dua Jiwa Satu Hati' turut diadakan.
Ahli panel terdiri daripada Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Aluwi Parman dan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kesuma Jakim, Zawiah Hassan.
Mengulas perbezaan dua jiwa yang disatukan dalam ikatan perkahwinan, Zawiah berkata, keserasian antara mereka boleh dibentuk melalui sikap tolak ansur, kasih sayang, cinta dan rindu yang Allah letakkan dalam setiap jiwa manusia di samping sifat belas kasihan dan bergaul mesra antara mereka.
Menurutnya, di awal perkahwinan sikap kasih sayang dan saling cinta-mencintai mudah ditonjolkan tetapi sikap sedemikian semakin pudar dan hilang apabila usia perkahwinan memasuki fasa tahunan.
Sehubungan itu, Zawiah berkata, perkahwinan boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing seperti ucapan I Love You sekurang-kurangnya tujuh kali sehari.
"Dalam hal ini, pihak suami dikatakan amat payah untuk mengucap ungkapan sebegini tetapi sebenarnya amalan seperti itu amat penting bagi menunjukkan penghargaan kepada pasangan masing-masing.
memanggil pasangan
"Suami isteri perlu sentiasa berkomunikasi baik, bergurau mesra dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti sayang, abang dan sebagainya sebagaimana Rasulullah memanggil isterinya, Siti Aisyah dengan panggilan Humairah (pipi merah)," katanya.
Suasana kasih sayang dalam perhubungan suami isteri perlu lahir dalam hati yang ikhlas bukan paksaan. Suami isteri perlu memainkan peranan masing-masing untuk memupuk perasaan itu agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan kemesraan.
Dalam konteks itu, Aluwi berkata, setiap pasangan perlu mencari kelainan dalam diri pasangan mereka dan menjadikan kelainan itu sebagai satu keserasian.
Menurutnya, ada tiga cara untuk menerbitkan keserasian antara mereka iaitu dengan mengadakan sembahyang berjemaah, makan makanan yang dimasak oleh isteri serta tidur bersama bukan sekadar melakukan hubungan intim.
"Sesungguhnya dosa suami isteri akan gugur di celah-celah jari apabila mereka bersalaman selepas sembahyang berjemaah sekiranya berlaku pertelingkahan di dalam rumah tangga," katanya.
Melalui pernikahan, seseorang itu akan mendapatkan banyak kemaslahatan daripadanya seperti memelihara kehormatan, mencegah dari perbuatan zina, memelihara pandangan serta menyambung generasi.
Aluwi menambah, seseorang itu akan mendapat banyak ganjaran pahala daripada Allah walaupun sekadar menatap wajah suami atau isteri masing-masing.
"Ada lima perkara apabila kita menatapnya akan mendapat pahala iaitu melihat Kaabah, mushaf al-Quran, melihat wajah ibu bapa, orang alim dan memandang wajah suami isteri dengan penuh kasih sayang," katanya.
Dalam pada itu, Aluwi memberitahu, terdapat empat tanda kebahagiaan dalam kehidupan seseorang iaitu mempunyai isteri solehah, anak-anak yang baik, pergaulan dengan orang-orang yang baik dan mendapat rezeki di tanah air sendiri.
"Isteri yang solehah itu diertikan apabila kamu memandangnya kamu akan rasa terhibur, sentiasa mentaati suaminya selagi tidak bertentangan dengan syariah dan menjaga kehormatan diri dan suaminya," katanya.
Dalam menyusun keluarga yang tenteram dan sejahtera, Islam berpandu kepada dua prinsip iaitu didikan yang mengukuhkan kesedaran beragama dengan disuburkan perasaan taat kepada Allah, tidak menganiaya sesama manusia, belas kasihan, bertimbang rasa dan sebagainya.
Undang-undang dan peraturan yang menentukan kewajipan, hubungan antara suami isteri juga menjadi asas selain kewajipan terhadap anak-anak, nafkah, peraturan jika berlaku perselisihan, penceraian dan sebagainya.
Kepincangan dan kegelisahan yang banyak berlaku di dalam keluarga Islam hari ini adalah kerana pembentukannya tidak memenuhi kehendak-kehendak Islam serta jahil mengenai hukum-hukum berkaitan hubungan antara mereka dan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Utusan Malaysia 23/6/09

Thursday, October 29, 2009

Asiah menyelamatkan Nabi Musa
ASIAH binti Mazahim merupakan seorang wanita Mesir yang baik budi pekertinya dan bijaksana dalam pemikirannya. Oleh kerana dia memiliki kecantikan yang tiada tolok bandingan, dia dipaksa berkahwin dengan Firaun, raja Mesir yang berkuasa pada ketika itu.
Pada suatu hari ketika Asiah sedang duduk bersantai bersama dayang-dayang istana, dia terlihat sebuah kotak kayu terapung-apung di tepian sungai yang mengalir merentasi istana Firaun.
"Ambil kotak itu dan bawa kepada beta," arah Asiah kepada salah seorang dayang yang berdiri di tepinya.
Dayang itu berlari pantas ke arah kotak yang sedang terapung-apung di tepian sungai. Dia mengangkat kotak kayu itu dari permukaan sungai lalu dibawakan kepada Asiah. Dia berdebar-debar untuk mengetahui isi kandungan kotak kayu itu.
"Comelnya bayi lelaki dalam kotak kayu ini!," jerit hati Asiah apabila penutup kotak kayu itu terbuka.
Pada ketika itu, Firaun memerintahkan masyarakatnya membunuh semua bayi lelaki Bani Israel kerana dia bermimpi bayi tersebut akan menghancurkan dan membinasakan kerajaan pemerintahan Firaun.
Apabila berita penemuan bayi lelaki itu sampai ke telinga Firaun, maka dia bergegas ke tempat Asiah dan bayi lelaki itu.
"Pengawal! Bunuh bayi ini sekarang..." Perintah Firaun kepada pengawal yang mengiringinya ke kamar Asiah.
"Bukankah kita tidak mempunyai anak lelaki. Anak lelaki ini dapat kita jadikan anak angkat. Saya merayu supaya bayi ini tidak dibunuh kerana saya sudah sayang kepadanya.
' Dia akan memberikan manfaat kepada kita berdua apabila dewasa nanti," Asiah menghalang niat jahat Firaun dengan kata-kata bijaksananya.
"Baiklah. Saya tidak akan bunuh bayi ini kerana perasaan cinta saya pada kamu," Firaun akur dengan permintaan isterinya, lalu keluar dari kamar itu.
Asiah memberi nama Musa kepada bayi tersebut dan memeliharanya sehingga dewasa di istana Firaun.
Apabila nabi Musa mula berdakwah menyebarkan ajaran Allah, maka Asiah terus menjadi salah seorang pengikutnya tanpa pengetahuan Firaun dan orang sekelilingnya.
Pada suatu hari, Asiah duduk menyisir rambut anak perempuannya di kamar tidur. Tiba-tiba sikat yang digunakan Asiah bagi menyisir rambut anaknya jatuh dengan kehendak Allah.
Asiah yang terkejut dengan kejadian itu terus berkata, "Binasalah Firaun yang dilaknat Allah dengan izinnya."
"Dengan nama Allah," ucap Asiah tanpa menyedari anaknya memerhatikan perbuatannya dengan perasaan hairan.
"Ibu, adakah tuhan lain selain ayah? Adakah ibu sudah menganut agama yang dibawa oleh Musa? Mengapa ibu sanggup mengikut agama Musa? Bukankah ibu menyelamatkan Musa sewaktu kecil apabila dia akan dibunuh oleh ayah," anaknya bertanya pelbagai soalan kepada Asiah dan menanti jawapannya.
Manusia biasa
"Firaun, ayah kamu adalah manusia biasa seperti kita semua dan bukan tuhan. Tuhan sebenar adalah Allah, tuhan semesta alam!" jawab Asiah tanpa perasaan takut dan gentar.
"Biar saya adukan perkara ini kepada ayah!," balas anaknya, lalu dia lari keluar dari bilik itu dan pergi mengadu kepada Firaun.
Firaun yang mendengar aduan anaknya berasa sangat marah dengan Asiah. Dia tidak menyangka Asiah sudah mengikut ajaran Allah walaupun dia melarang sesiapa sahaja di Negara Mesir mengikuti ajaran Allah.
Orang yang mengingkari larangan itu akan dijatuhkan hukuman berat jika diketahui oleh Firaun. Kini isterinya sudah mengikut ajaran Allah, maka dia harus berbuat sesuatu supaya isterinya keluar dari agama Allah.
"Dengarlah nasihat saya, wahai Asiah yang amat saya cintai dan sayangi.
"Keluarlah dari agama yang dibawa oleh Musa. Saya akan berikan segala harta dan istana di Mesir sebagai hadiah," Firaun cuba berlembut dan memujuk Asiah dengan kata-kata manisnya.
"Saya tidak akan sekali-kali keluar dari agama ajaran Musa yang benar dan suci. Nanti saya akan dimurkai oleh Allah, tuhan yang mencipta saya.
"Jika saya tetap dalam agama ini, saya percaya Allah akan memberikan syurga yang lebih baik dari harta dan istana kamu," tegas Asiah yang tenang dan berani bertentang mata dengan Firaun yang menyala dengan api kemarahan.
Usaha Firaun memujuk isterinya menemui jalan buntu. Dia tidak mahu menghukum Asiah kerana perasaan kasih sayang dan cinta yang mendalam terhadap isterinya. Dia cuba memikirkan cara lain bagi melembutkan hati Asiah supaya dia tidak beriman dengan ajaran nabi Musa.
Namun, semua ikhtiarnya gagal dan tidak menemui jalan penyelesaian. Firaun termenung. Wajahnya terbayang seribu kekecewaan kerana gagal memujuk Asiah. Akhirnya, dia mengambil keputusan menggunakan kekerasan kepada Asiah supaya dia berpaling dari agama Musa.
"Pengawal, tangkap Asiah dan bawa dia berjumpa beta sekarang!," perintah Firaun dengan nada keras.
"Oleh kerana kamu masih berdegil mahu mengikuti ajaran agama Musa, beta jatuhkan hukuman berat ke atas kamu," kata Firaun lagi.
"Pengawal, bawa perempuan ini ke tanah tinggi dan ikatkan pada empat batang kayu. Pakukan empat kayu itu ke bumi dengan menelentangkan badan perempuan ini menghadap langit.
"Biarkan bahang matahari yang panas, dan sejuk malam menyeksanya," Firaun meminta para pengawalnya menjalankan hukuman ke atas Asiah dengan segera.
"Allah! Allah! Allah!," mulut Asiah tidak henti-henti menyebut kalimat Allah sepanjang hukuman itu dijalankan.
"Ya Allah! Saya mohon supaya dilindungi dari bencana Firaun dan dianugerahkan sebuah rumah di syurga," doa Asiah yang terseksa dengan pancaran matahari yang sangat panas dan terik.
Akhirnya Asiah dapat melihat rumahnya di syurga dengan kehendak Allah yang membuka hijabnya. Hatinya sangat gembira sehingga lupa pada penderitaan dan kesakitan yang sedang diharunginya.
Selepas beberapa lama tempoh penyeksaan itu berlalu, Asiah akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan kalimat Allah di mulutnya.
Begitulah kisah wanita yang berhati waja. Dia tetap dalam keimanannya kepada Allah walaupun diseksa sehingga mati tanpa belas kasihan.
Utusan Malaysia 15/4/2009

Friday, October 16, 2009

kembali

assalamualaikum dan salam sejahtera..setelah sekian lama ini saya memohon maaf kerana buat masa sekarang saya sibuk dengan urusan pengajian..insyaalah saya akan terus mengolah blog saya ini kembali setelah sikan lama menyepi