Tuesday, August 9, 2011

Penyiksaan para sahabat berterusan

Penyiksaan para sahabat berterusan

Susunan SITI AINIZA KAMSARI



Tidak salah berbaik-baik dengan Yahudi tetapi dengan berhati-hati kerana Rasulullah sendiri pernah terkena dengan kelicikan kaum ini. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



DALAM peristiwa Ar Raji ini, turut menyaksikan tidak sahaja Zaid bin Datsinah yang terkorban dan syahid, malah seorang lagi rakannya, Khubaib bin Adi yang ditawan musuh turut syahid.

Apa yang dilalui oleh Khubaib sebelum dibunuh ditangan orang Quraisy adalah lebih teruk daripada apa yang dialami oleh Zaid.

Sebelum beliau dibunuh, dikatakan Khubaib telah diseksa dengan begitu kejam ketika ditawan dan ditahan oleh Al Harits bin Amir bagi membalas dendam atas kematian Uqbah bin Al Harits di Perang Badar dahulu.

Begitu teruk sekali Khubaib diseksa sehingga pada suatu hari beliau berkata kepada orang yang menyeksanya itu; "Orang yang terhormat tidak akan bertindak sebegini kejam terhadap orang yang ditawannya, apa tah lagi tawanannya itu bakal dibunuh tidak lama lagi."

Kata-kata Khubaib telah berjaya membuatkan orang yang menyeksanya itu terdiam dan berhenti daripada menzaliminya.

Malah mereka mula melayan Khubaib dengan penuh hormat kerana selama ditawan itu Khubaib tidak pernah melawan, apatah lagi memaki hamun atas segala layanan buruk dan penyeksaan yang dilakukan terhadapnya.

Sehinggalah pada hari yang ditetapkan hukuman mati yang akan dijatuhkan ke atasnya, lalu Khubaib pun dibawa keluar dari Kota Mekah dengan hampir kesemua para pembesar Quraisy dan penduduk Mekah turut mengiringi Khubaib bagi menyaksikan perlaksanaan hukuman tersebut.

Tetapi sebelum hukuman bunuh itu dijalankan, Khubaib meminta untuk mendirikan solat sebagai permintaan beliau yang terakhir sebelum dibunuh.

"Tinggalkan saya sebentar kerana saya hendak mengerjakan solat sebelum hukuman dijalankan," kata Khubaib.

Semua yang hadir memenuhi permintaan Khubaib itu dan mereka meninggalkannya sendirian. Selepas selesai Khubaib mengerjakan solat dua rakaat itu, maka persiapan pun dilakukan untuk menyalib Khubaib sebagai hukuman mati yang bakal meragut nyawanya.

(Sesetengah riwayat mengatakan Khubaib mati di tali gantung)

Khubaib pun berkata; "Demi Allah, sekiranya tidak kerana aku bimbang, kamu akan menyangka aku sengaja melengah-lengahkan solat kerana takut mati dibunuh, nescaya aku menambah dan memperbanyakkan solatku ini."

Lalu dengan air mata yang berlinangan di pipinya, sebelum hukuman dijalankan ke atasnya Khubaib sempat berdoa; "Ya Allah, hitunglah bilangan mereka yang hadir pada hari ini bagi menyaksikan kematianku ini, bunuhlah kesemua mereka ini, jangan Engkau tinggalkan seorang pun daripada mereka ini hidup!

"Ya Allah, Ya Tuhanku, sampaikanlah berita mengenai kami ini kepada Rasul Engkau, Muhammad kerana tiada beliau mengetahui akan nasib menimpa kami sehingga Engkau Ya Allah menyampaikannya."

Malah dikatakan juga Khubaib sempat bersyair, iaitu antara bait-bait dalam syairnya itu;

Bergenang air mataku tiada mencurah,

Tiada peduli andaiku dibunuh sebagai muslim,

Di sebelah mana jua tubuhku terbaring,

Semua itu di sisi Allah jika Dia mahu,

Diberkatinya semua sendi daging yang bakal hancur remuk ini...

Sesudah itu, Khubaib pun dibunuh oleh orang upahan Quraisy di tengah-tengah kawasan lapang di luar Kota Mekah yang ditonton oleh orang ramai itu.

Maka seorang lagi mati syahid kerana iman yang kental mempertahankan agama Allah tanpa mudah menyerah kalah dengan segala macam tawaran dan umpan.

Menurut cerita, Allah menurunkan juga wahyu, ayat al-Quran yang berkaitan dengan peristiwa pembunuh Zaid bin Datsinah dan Khubaib bin Adi ini.

Firman-Nya yang bermaksud: Dan antara sebahagian manusia, ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-NYA. (al-Baqarah: 207).

Sebelum ini, sebelum tewas terkena anak panah daripada pihak musuh, Ashim bin Tsabit yang mengetuai misi dakwah enam sahabat ini, sempat juga melaungkan sebuah syair dengan semangat berapi-api, iaitu;

Mati itu hak dan hidup itu adalah mati. Tiap-tiap sesuatu yang sudah diputuskan oleh Allah, tentu akan datang kepada seseorang dan orang itu pasti akan kembali juga kepada-NYA...

utusan 10/08/2011

Wednesday, August 3, 2011

Hayati madrasah Ramadan

Hayati madrasah Ramadan

Oleh NAJAHUDIN LATEH

RAMADAN kembali lagi. Seperti nikmat Allah SWT yang tidak pernah berkurang, begitulah Ramadan yang sentiasa dilimpahi rahmat kepada mereka yang mencarinya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila tiba Ramadan, pintu-pintu rahmat akan dibuka (riwayat Muslim).

Kehadiran bulan ini sentiasa dinanti-nantikan oleh jiwa-jiwa beriman yang kasih dan mengharapkan pengampunan Allah.

Firman-Nya: Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Objektif akhir insan yang berpuasa adalah untuk mencapai tahap ketakwaan dan keredaan Allah.

Untuk mencapai tahap takwa ini, kita akan berhadapan dengan pelbagai tugasan, peraturan dan ujikaji sikap sepanjang sebulan ini.

Justeru, sekolah atau madrasah Ramadan perlulah dihayati dan dipenuhi dengan pelbagai amanah kerja yang diminta oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah. Tanpa pendaftaran atau yuran, bulan tarbiyah dan pendidikan ini menjanjikan kelebihan dan kemenangan kepada hamba-Nya yang bertakwa. Benarlah janji Allah: Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa mendapat kemenangan. (al-Naba': 31).

Takwa secara ringkas maksudnya melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Maksud ini dilaksanakan melalui arahan berpuasa yang hakikatnya bukanlah setakat menahan diri daripada makan minum.

Namun lebih besar lagi adalah meninggalkan segala larangan seperti menipu, mengumpat, bertelingkah, boros berbelanja, membazir, makan harta riba, berjudi dan sebagainya.

Madrasah Ramadan juga mengajar kita supaya sentiasa melakukan kebaikan kerana pahalanya adalah berlipat kali ganda. Oleh itu, amalan tadarus al-Quran, qiamullail, solat berjemaah, tarawih, tazkirah, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, memberi makan anak yatim dan sebagainya hendaklah menjadi agenda kita sehari-harian dalam bulan berkat ini.

Mereka yang menghidupkan amalan Ramadan dijanjikan dengan rahmat tanpa batasan dan diluaskan pintu keampunan. Sabda Rasulullah: Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan) Ramadan dengan keimanan dan mengharap (keampunan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Walaupun pelbagai ganjaran yang boleh direbut dalam Ramadan, namun terdapat di kalangan umat Islam di negara kita yang telah mengkurus-keringkan pahala mereka.

Ini akibat daripada salah faham dan kesilapan tradisi dalam melakukan ibadah puasa Ramadan.

Perkara berkaitan salah faham dan kesilapan yang disebutkan dalam rencana ini hanyalah beberapa peringatan kepada kita untuk memastikan ibadat puasa kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Kadang-kadang, kita lebih mementingkan perkara-perkara kecil, sedangkan perkara yang lebih besar tidak diberi perhatian.

Contohnya, wujud tradisi dalam masyarakat kita yang terikut-ikut budaya bergaduh atau bertengkar mengenai jumlah rakaat dalam solat Terawih.

Hakikatnya, solat tersebut adalah sunat bukannya wajib. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dan juga para Khulafa' al-Rasyidin yang dimulakan oleh Umar al-Khattab.

Sepatutnya, perkara ini tidak menjadi isu. Malah, jangan terkejut khalifah Umar Abdul Azi pernah menguatkuasakan solat Terawih sebanyak 36 rakaat dan tiga kali witir.

Apa yang penting adalah amalan tersebut disertai dengan niat yang ikhlas. Dua rakaat yang ikhlas lebih mulia daripada 100 rakaat yang ujub. Pertelingkahan dalam perkara-perkara kecil dan sunat hendaklah dielakkan demi menjaga silaturahim sesama Muslim.

Justeru, sepanjang madrasah Ramadan ini kita hendaklah mengawasi pancaindera dengan melakukan perkara-perkara berikut bagi memenuhi tuntutan sebenar ibadat puasa;

n Menjaga lidah daripada bercakap kosong, mengumpat, memburuk-burukkan orang lain dan sebaiknya hendaklah dibasahi dengan berzikir atau bertadarus al-Quran;

n Menjaga mata daripada melihat perkara yang diharam dan melalaikan kita daripada mengingati Allah SWT;

n Menjaga telinga daripada mendengar lagu-lagu dan perbualan yang tidak berfaedah dan sebaiknya digunakan untuk mendengar bacaan al-Quran.

n Menjaga anggota-anggota tubuh lain seperti perut, kaki, tangan dan sebagainya. Perut semasa bersahur dan berbuka puasa hendaklah diisi dengan makan halal, baik dan mengikut sunnah. Kaki dan tangan hendaklah digunakan untuk berzikir, solat, dan melangkah ke surau atau masjid.

Dengan pengawasan dan amalan baik, insya-Allah Ramadan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita sebelum dijemput ke alam barzakh. Alangkah indahnya jika kita berjaya menghabiskan tempoh latihan di madrasah Ramadan ini dengan memperoleh ijazah takwa yang dijanjikan itu.

Beruntunglah kita di dunia dan berbahagialah kita di akhirat. Ingatlah perkhabaran Rasulullah: Orang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya, iaitu kegembiraan apabila berbuka, dan apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (riwayat al-Bukhari).

Utusan Malaysia 04/08/2011

Wednesday, June 22, 2011

ciri wanita idaman lelaki

Wahai wanita, sesungguhnya kejadianmu terlalu unik,tercipta dari tulang rusuk. Adam yang bengkok menghiasi taman-taman indah lantas menjadi perhatian sang kumbang, kau umpama sekuntum bunga, harum aromamu menarik sang kumbang untuk mendekatimu. Namun, bukan semua bunga mampu menarik kumbang jika terdapat cacat cela. Antara ciri wanita idaman lelaki adalah :

1. Berpegang Kepada Agama

Wanita yang berpegang kepada agama mempunyai keperibadian yang unggul. Batas-batas syariat yang dipegang dan terpelihara dalam hidupnya mengangkat martabat dirinya sebagai seorang yang layak dikagumi oleh lelaki. Dia tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariah Islam. Memang beruntung mana-mana lelaki yang beristeri dengan wanita sebegini.




2. Kecantikan Dalaman

Wanita yang tulen adalah lemah lembut dalam perwatakannya tetapi mempunyai prinsip dalam hidup. Inilah kecantikan dalaman yang dicari oleh ramai lelaki. Kalau cantik, tu dikira sebagai BONUS.

Wanita yang mempunyai kecantikan dalaman tidak akan sesekali menjual maruah dirinya hanya untuk mencari nama dan wang. Mereka tidak akan sesekali tunduk pada nafsu atau berbuat sesuatu semata-mata kerana mahukan harta dan kekayaan.




3. Manja

Lelaki suka wanita yang keanak-anakan atau yang ada sifat manja, supaya lelaki boleh memainkan peranan sebagai pelindung. Namun begitu, sifat manja dan keanak-anakan yang melampau tidak sesuai kerana ia akan menampakkan wanita itu seperti kurang matang.




4. Pandai Menjaga Kecantikan

Lelaki menginginkan wanita yang pandai menjaga kecantikan dirinya. Wanita dan kecantikan memang susah nak dipisahkan. Mereka akan kelihatan bertambah cantik jika bijak menguruskan penampilan diri. Lelaki secara fitrahnya memang mahukan wanita yang pandai menjaga kecantikan, kerana ia akan membuat mereka bangga.




5. Berakhlak Mulia

Wanita yang berakhlak mulia dikenali juga sebagai wanita solehah. Wanita adalah hiasan dunia, tetapi seindah hiasan adalah wanita solehah. Merekalah ibu, isteri, kekasih dan merupakan tunjang kejayaan suami.




6. Tidak Mempamer Keseksian

Lelaki suka menjamu mata dengan melihat aurat wanita, namun tidak suka menjadikanya isteri kerana keindahan diri wanita tu seolah-olah menjadi barang pameran untuk mata semua lelaki.




7. Tidak Cerewet

Lelaki suka pada wanita yang tidak cerewet. Mengapa pula? Sebab wanita yang cerewet boleh merimaskan dan mudah menyebabkan lelaki merasa jemu dengannya. Biasanya, wanita yang cerewet suka mengkritik apa saja yang tidak disenanginya walaupun perkara itu hanyalah perkara kecil.




8. Memahami Lelaki

Wanita yang memahami hati lelaki biasanya mempunyai intuisi yang cukup kuat. Lelaki mengimpikan wanita yang mampu memahami situasinya dalam keadaan suka dan duka. Pendek kata, tanpa perlu bersuara, dia itu sudah dapat membaca riak wajah suaminya. Lantas, bertindak menghiburkan atau memberi kekuatan.




9. Sejuk Mata Memandang

Wanita yang manis wajahnya dan sejuk dipandang mata akan mendamaikan perasaan seorang lelaki. Ciri-ciri Wanita Sejuk Mata Memandang seperti di bawa ini:

.:: – Bersopan satun

.:: – Senantiasa memaniskan wajah

.:: – Senantiasa memberikan senyuman ikhlas

.:: – Menutup aurat

.:: – Ramah dan mesra

.:: – Tidak terlalu cemburu

.:: – Menghormati orang lain


.



Inilah 9 ciri-ciri wanita yang menjadi idaman lelaki.

Jadikan tips yang terakhir ini sebagai rutin harian dalam hidup. Sebelum tidur, cuba menilai atau memuhasabah diri kita kembali. Cuba lihat di mana kelebihan dan kekurangan diri kita serta apa yang telah kita capai pada hari ini. Andai kita mampu mengatasi kelemahan diri sendiri, teruskan memperbaikinya dengan secara beransuran dan fahami bahawa kelemahan itu wujud supaya kita tahu apa kekuatan diri kita. Sepertimana Dr Fadhillah Kamsah mendidik jiwa kita agar senantiasa mengamalkan sifat saling memaafi antara satu sama lain pada setiap malam sebelum melelapkan mata dan menikmati alam keindahan bermimpi.

Lantas, gunakan kelebihan dan kekuatan yang ada untuk mencipta kecemerlangan dalam diri untuk kebaikan bersama. Ingatlah bahawa setiap keindahan dan kesempurnaan itu hanya milik sang penakluk jiwa para hamba-hamba-NYA, yakni sang KHALIQ yang Maha Pencipta. Manakala pada kecacatan, keburukan dan kelemahan adalah ciptaan manusia itu sendiri



Sumber: 9 Ciri - Ciri Wanita Idaman Lelaki | Paradigma MUKMIN http://akuislam.com/blog/renungan/9-ciri-ciri-wanita-idaman-lelaki/#ixzz1Q3qVXpQM

Friday, March 4, 2011

Alhamdulilah

Alhamdulilah

Suka duka dan kebahgiaan yang telah kita kongsi bersama membuatkan diri ini makin tunduk kepada mu yaa rabbi..kepada isteriku maria azliza binti ab rahman terima kasih kerana membuatkan hubungan bertambah manis dari hari ke sehari...

Ya Allah ...
Ya Tuhan kami
Ampunilah dosa ku yang telah aku lakukan
Kau limpahkanlah aku dengan kesabaran yang tiada terbatas

Ya Allah...Ya Rahman Ya Rahim..
Sekiranya isteri ku ini adalah pilihan Mu di atas Arsy
Berilah aku kekuatan dan keyakinan untuk terus bersamanya
Kurniakanlah aku sifat kasih dan redha atas segala perbuatannya
Sekiranya isteri ku ini adalah bidadari untuk ku di Syurga Mu
Limpahkanlah aku dengan sifat kesabaran dan kelembutan untuk menghadapi dirinya
Peliharalah tingkah laku serta kata-kataku dari menyakiti perasaannya

Sekiranya... Isteri ku ini jodoh yang dirahmati oleh Mu
Maka berilah aku kesabaran untuk menghadapi segala tingkah lakunya

Ya Allah...Tuhan Yang Maha Mengetahui Segala Sesuatu..
Kau yang Maha Megetahui apa yang terbaik untukku
Kau juga yang Maha Mengampuni segala kekhilafan dan segala dosa yang sudah aku lakukan
Sekiranya aku tersilap membuat keputusan..
Bimbinglah aku ke jalan yang Engkau redhai
Sekiranya aku lalai dalam tanggungjawabku sebagai suami..
Kau hukumlah aku didunia tetapi bukan diakhirat Mu
Sekiranya aku ingkar dan durhaka berikanlah aku petunjuk kearah rahmat Mu

Ya Allah sesungguhnya aku lemah tanpa petunjukMu..
Aku buta tanpa bimbinganMu. .
Aku cacat tanpa hidayahMu..
Aku hina tanpa RahmatMu..

Ya Allah.. Ya Muqallibal Qulub
Kuatkan hati dan semangatku
Tabahkan aku menghadapi segala cubaanMu
Jadikanlah aku suami yang di sayangi isteri
Bukakanlah hatiku untuk menghayati agamaMu
Bimbinglah aku menjadi suami yang terbaik bagi dirinya
Hanya padaMu Ya Allah ku mohon segala harapan
Kerana aku pasrah dengan segala keputusanMu
Kerana aku sedar hinanya aku
Kerana aku insan lemah yang sering keliru
Kerana aku sering lupa dengan keindahan dunia ini
Kerana kurang kesabaran ku menghadapi ujia dariMu

Ya Allah .. Sesungguhnya diriku ini Hanyalah HambaMu yang Lemah dan Fakir
Limpahkan lah rumah tanggaku dengan penuh mawaddah
Jadikanlah rumah tanggaku sebagai rumah tangga yang sakinah
Aku memohon ampun kepadaMu Ya Allah , atas segala Dosa-dosa yang telah aku lakukan

Amin, amin Ya Rabbal Allamin