Sunday, May 23, 2010

Teori akad dalam kehidupan

Teori akad dalam kehidupan

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN
utusan malaysia 24/5/10


AKAD atau kontrak berasal dari bahasa Arab yang bermaksud ikatan atau simpulan sama ada yang dapat dilihat (hissiy) mahupun yang tidak dapat dilihat (ma'nawiy).

Daripada segi istilah, akad bermaksud suatu kesepakatan atau komitmen bersama, sama ada secara lisan, isyarat, ataupun tulisan antara dua pihak atau lebih. Ia memiliki implikasi hukum yang mengikat untuk melaksanakannya (rujuk Muhammad Salam Madkur (1963), al-Madkhal al-fiqh al -Islamiyy, Dar al-Nahdah al- 'Arabiyyah, hlm. 506).

Berdasarkan definisi tersebut, dapat difahami akad adalah perjanjian dan persefahaman yang mengikat pihak yang berakad untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing selagi belum menamatkan akad tersebut.

Akad juga boleh difahami sebagai pertalian antara ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan) yang menimbulkan pengaruh dan kesan kepada subjek terlibat.

Pertalian ijab dan qabul ini mengikat pihak-pihak yang berakad untuk menunaikan kewajipan sebagaimana yang disepakati bersama.

Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan definisi antara akad dan wa'ad (janji). Namun, kebanyakan mereka menyatakan bahawa akad dan wa'ad berbeza.

Dalam akad, segala terma ditentukan secara spesifik sebelum akad itu dimeterai. Wa'ad adalah janji antara satu pihak dengan pihak yang lain.

Pihak yang memberi janji bertanggungjawab melaksanakan janjinya sedangkan pihak yang kedua tidak memikul apa-apa kewajipan terhadapnya.

Dalam berurusan sesama manusia, masyarakat perlu memahami konsep akad dalam Islam agar semua urusan yang dilakukannya menepati garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.

Sekali gus, kefahaman yang diseiringkan pula dengan kepatuhan terhadap rukun-rukun dan syarat-syarat akan menyebabkan semua hak mereka yang terlibat dalam akad dapat dipelihara.

Kedudukan akad sangat penting untuk membezakan sama ada sesuatu urusan atau urusniaga itu sah atau tidak mengikut syarak. Justeru, penggunaan akad yang tepat untuk melakukan sesuatu urusan perlu diambil berat oleh setiap individu.

Sekiranya akad tersebut sah, maka ia akan mewujudkan tanggungjawab dan hak di kalangan pihak-pihak yang berakad. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu menyerahkan sejumlah wang dengan menggunakan akad bai' (jual beli), maka hendaklah orang yang menerima wang tersebut menggantikannya dengan barang yang diminta oleh pembeli.

Jika individu tersebut menyerahkan duitnya dengan menggunakan kontrak tabarru', maka ia tidak memerlukan sebarang penggantian dan pertukaran dalam bentuk barangan atau perkhidmatan. Ia adalah percuma dan diberikan mungkin disebabkan derma, wakaf, sedekah, hadiah dan sebagainya.

Jika ia menyerahkan duit dengan menggunakan kontrak qard (pinjaman), maka si penerima perlu membayar balik jumlah duit yang diterimanya tanpa melebihi kadar yang disumbangkan. Kita dapat lihat melalui contoh-contoh tersebut perbezaan yang ketara di antara kontrak-kontrak yang dilaksanakan.

Kontrak-kontrak dalam Islam mengandungi rukun dan syarat yang perlu dipatuhi. Kegagalan memenuhi segala rukun dan syarat tersebut akan memberi kesan buruk kepada akad. Jika akad tersebut tidak sah, maka segala yang berkaitan dengannya juga tidak sah.

Sebagai contoh, sekiranya seorang yang kurang siuman mendermakan sejumlah wang, maka derma tersebut tidak sah kerana syarat orang yang memberikan sumbangan adalah daripada orang baligh dan berakal.

Akad hanya boleh terbentuk sekiranya cukup rukun-rukun yang telah ditetapkan oleh Islam. Menurut majoriti ulama, akad terbentuk melalui tiga rukun iaitu:

l Al-'aqidain: Dua pihak yang berakad. Iaitu semua pihak yang terlibat secara langsung dengan akad seperti penjual dan pembeli dalam akad bai' (jual beli) serta penyumbang modal dan pekerja dalam akad mudharabah.

l Mahallul aqd: Subjek akad iaitu sesuatu yang hendak diakadkan seperti kereta dalam akad sewa dan beli (Aitab) atau rumah dalam akad Bai' Bithaman Ajil (BBA)

l Sighah: iaitu ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan). Ia dilafazkan secara lisan atau bertulis oleh mereka yang berakad. (rujuk Wahbah Az-Zuhaili. 1989, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu,. Damaskus: Dar al-Fikr. IV: 92).

Para ulama fikah dalam Mazhab Hanafi berbeza pandangan dengan majoriti ulama. Bagi mereka, rukun akad hanya satu sahaja iaitu sighah (ijab dan qabul). Al-aqidain dan mahallul aqd adalah syarat akad kerana ia bersifat dalaman (dakhiliy) dan teknikal.

Pandangan ini didasari oleh kefahaman mereka bahawa rukun adalah sesuatu yang tunjang dan menjadi faktor utama terjadinya sesuatu akad

Thursday, May 20, 2010

Huru-hara kiamat

Huru-hara kiamat

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
utusan malaysia 21/5/10



Gempa bumi yang berlaku hanyalah sedikit daripada gambaran keadaan kiamat yang dijanjikan oleh Allah. - gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



SURAH al-Takwir ini termasuk dalam kategori surah Makkiah. Ia berjumlah 29 ayat dan diturunkan selepas surah al-Masad. Hubungan surah ini dengan surah Abasa yang terdahulu ialah kedua-duanya menceritakan peristiwa hari kiamat dan bala bencananya.

Imam Ahmad, al-Tirmizi dan al-Hakim meriwayatkan hadis daripada sahabat Umar r.a yang mengatakan bahawa: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang ingin melihat hari kiamat yang seolah-olah dia melihat dengan mata kepalanya, maka bacalah: Idhashshamsu kuwwirat, idhassama'un fatarat dan idhassama'un shaqqat".

Firman Allah SWT: Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap).

Al-Maraghi berkata: Tanda-tanda datangnya hari Kiamat ialah ketika matahari digulung, cahayanya pudar dan hilang ketika dunia mengalami kehancuran sehingga tidak ada satu pun benda di alam lain yang boleh menggantikan benda-benda itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak.

Syed Qutb berkata: Gugurnya bintang dimaksudkan ia kelak akan terjatuh bertaburan dari sistem yang mengikatnya dan akan padam cahayanya. Allah SWT sahaja yang tahu bintang manakah yang akan jatuh bertaburan.

Adakah kumpulan bintang-bintang yang dekat dengan kita atau galaksi yang terdiri dari ratusan juta bintang atau seluruh bintang yang tidak diketahui bilangannya melainkan Allah SWT.

Namun, yang pastinya ada bintang-bintang yang akan gugur bertaburan pada hari kiamat sebagaimana yang telah dijelaskan oleh berita yang benar ini. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja.

Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu)

Al-Maraghi berkata: Sehingga ikatannya terlepas dan terhempas di padang sahara dan terbang dibawa awan di atas kepala.

Firman Allah SWT: Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar.

Menurut al-Qurtubi bahawa tidak terurusnya unta bunting pada saat itu hanyalah sebagai perlambangan sahaja. Ini disebabkan pada hari kiamat sudah tidak ditemui unta bunting.

Tuhan menggambarkan huru-hara hari Kiamat bagaikan satu keadaan di mana seseorang berangan-angan mempunyai unta bunting 10 bulan yang nescaya unta itu akan dibiarkan sahaja kerana amat sibuk menjaga urusan dirinya sendiri yang lebih kritikal itu.

Firman Allah SWT: Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan.

Ibn kathir berkata: Dan umat manusia telah mengabaikan unta-unta pilihannya yang sedang bunting serta mengabaikan urusan kebajikannya sedangkan sebelum ini binatang itulah yang disayangi.

Ini kerana mereka disibukkan dengan hal yang lebih utama tanpa memikirkan kewujudan hari kiamat dan peristiwa lain yang akan berlaku.

Firman Allah SWT: Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur.

Al-Maraghi berkata: Ia juga bermaksud laut meluap. Perkara ini disebabkan airnya bergelombang bagaikan lautan api kerana di dalam perut bumi terdapat magma yang dapat menggegarkan permukaan bumi.

Pada ketika itu air mendidih dan terus berwap sehingga yang tinggal hanya bara api sahaja. Kajian saintifik telah menetapkan bahawa di perut bumi terdapat gunung-gunung berapi yang selalu bergejolak dan menimbulkan gempa bumi yang hebat boleh menghancurkan dataran bumi dan gunung-ganang di beberapa daerah.

Contohnya gempa bumi yang telah terjadi di Nessina, Itali pada tahun 1909 dan kemudian di Jepun. Dalam beberapa hadis disebutkan: "Bahawa laut itu adalah penutup neraka jahanam".

Firman Allah SWT: Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya.

Iaitu ketika jiwa itu kembali kepada jasadnya ketika memasuki awal kehidupan akhirat. Pendapat ini daripada Ikrimah, al-Dahhak dan al-Sya'bi.

Firman Allah SWT: Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, dengan dosa apakah ia dibunuh?

Syed Qutb berkata: Kerendahan jiwa manusia di zaman jahiliah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan miskin. Adat ini telah diceritakan oleh al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman jahiliah. Ketika inilah Islam datang menyelamatkan umat arab dari jurangnya yang dalam dan mengangkat darjat manusia seluruhnya.

Firman Allah SWT: Dan apabila surat-surat amal dibentangkan.

Ibn Kathir berkata: Oleh yang demikian, hendaklah seseorang memperhatikan dengan apa dia mengisi lembaran catatannya.

Mujahid berkata: Iaitu ditarik. Sedangkan al-Suddi berkata: Iaitu dibuka dan al-Dahhak mengemukakan: Mengelupas dan kemudian menghilang.

Firman Allah SWT: Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya.

Al-Maraghi berkata: Ketika langit sudah terbuka secara keseluruhan sehingga tidak ada lagi apa yang dikatakan atas dan bawah.

Firman Allah SWT: Dan apabila neraka dinyalakan menjulang.

Al-Qatadah berkata: Neraka itu dinyalakan oleh murka Allah SWT dan pelbagai kesalahan anak cucu Adam a.s.

Firman Allah SWT: Dan apabila syurga didekatkan.

Al-Dahhak, Abu Malik, al-Qatadah dan al-Rabi' bin Khaitsam berkata: Iaitu mendekati para penghuninya.

Firman Allah SWT: (setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang telah dibawanya.

Al-Maraghi berkata: Pada saat seluruh kejadian yang telah diterangkan di atas berlaku, barulah setiap orang mengetahui amalannya yang diterima dan yang ditolak.

Kebanyakan manusia yang sewaktu hidupnya di dunia ini tertipu oleh pujuk rayu syaitan, pada hari kiamat kelak akan mendapati amalan-amalan mereka itu ditolak dan tidak dihargai Allah SWT. Bahkan amalan itu dijauhkan daripada Allah SWT serta dia mendapat kemurkaan-Nya.

Orang yang melakukan amalannya dengan riak untuk dilihat oleh orang ramai, maka amalannya itu hanya dianggap usaha yang sia-sia sahaja dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Oleh sebab itu, kita wajib memandang perbuatan kita dengan kacamata Islam dan menimbangnya dengan timbangan yang benar. Allah SWT hanya menerima amalan yang lahir daripada hati yang berisi keimanan, penuh cinta dan mengharapkan keredaan-Nya serta melakukan kewajipan-Nya dengan bersungguh-sungguh.

Semoga kita bertambah keimanan berkenaan dengan hari kiamat dan seterusnya menjadikan kita golongan yang mendapat keredaan daripada-Nya. Amin.

Wednesday, May 19, 2010

Anak adalah amanah

Anak adalah amanah

Oleh Hashim Ahmad



Anak adalah amanah Allah kepada ibu bapa yang perlu dididik supaya menjadi insan yang berguna. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------



Sesungguhnya anak yang dikurniakan Allah kepada suami isteri adalah suatu amanah dari Allah SWT. Anak bukanlah hak kita. Ia adalah hak Tuhan. Tuhan yang memberikannya kepada kita.

Sekiranya anak itu hak kita, tentulah apabila kita berkahwin kita akan terus mendapat anak seperti mana yang kita kehendaki.

Ada pasangan yang 10 tahun kahwin tetapi tidak juga mendapat anak. Ini kerana ia tidak mendapat keizinan dari-pada Allah. Sebaliknya, ada orang yang baru enam bulan saja kahwin tetapi sudah mendapat anak.

Sedar akan hakikat bahawa anak yang dianugerahkan kepada ibu dan bapa itu adalah satu amanah daripada Allah. Maka menjadi tanggungjawab setiap ibu bapa menjaga amanah Allah itu dengan sebaik-baiknya.

Sebagaimana anak wajib berbakti kepada ibu bapanya, ibu bapa juga bertanggungjawab memenuhi segala yang menjadi hak anaknya.

Anak yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka. Ibu bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap anaknya juga boleh dianggap sebagai derhaka. Tetapi orang tidak biasa menyebutnya derhaka. Mungkin istilah yang lebih tepat adalah berlaku zalim.

Meneliti kisah yang berlaku pada zaman Umar al-Khattab menjadi khalifah boleh membuktikan adanya penderhakaan ibu bapa terhadap anaknya.

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa Saidina Umar mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang di-katakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.

Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: "Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.

"Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran".

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran".

Khalifah Omar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu".

Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.

Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat, sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah dan keturunan yang baik.

Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu mesti memakan makanan yang baik lagi halal.

Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.

Apabila anak lahir, dia berhak untuk diazan, ditahnik, diberi nama yang baik, dicukur rambutnya dan dibuat akikah.

Setelah anak itu nampak sudah faham akan sesuatu, dia mesti diajar mengaji, ditanam kepadanya masalah akidah, diajar masalah halal haram, mengerjakan solat dan sebagainya.

Dengan kata lain, ibu bapa bukan saja diwajibkan memberi makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak-anaknya. Malah lebih dari itu ibu bapa wajib mendidik dan memberi pelajaran agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sabda Rasulullah bermaksud: Setiap anak yang di-lahirkan adalah dalam keadaan bersih melainkan dua orang tua-nyalah yang bertanggungjawab mencorakkannya menjadikan Yahudi atau Nasrani atau Majusi. (riwayat Muslim dan Baihaqi)

Daripada hadis di atas kita dapati peranan ayah dan ibu adalah amat besar untuk melahirkan anak-anak berperibadi dan berakhlak mulia. Anak-anak berada di sekolah kira-kira tujuh jam sahaja sehari.

Dalam masa tersebut anak-anak berada di bawah pengawasan guru. Baki 17 jam lagi dalam hari tersebut, anak-anak berada di bawah penjagaan ibu bapa masing-masing.

Sesungguhnya, anak yang masih kecil mudah dibentuk sesuka hati seperti halnya dengan tepung. Seorang tukang kuih yang sedang memegang tepung, sanggup membentuk tepung itu sesuai dengan kehendaknya.

Begitu jugalah keadaan anak yang masih kecil. Dia masih mudah dibentuk, sama ada untuk dijadikan orang baik atau orang jahat.

Dalam memperkatakan tentang pemberian pelajaran kepada anak-anak, satu perkara yang amat mendukacitakan kita ialah sikap dan tanggungjawab ibu bapa serta bentuk pendidikan yang diberikan kepada anak-anak.

Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kesedaran ibu bapa terhadap kemajuan persekolahan anak-anak memang amat ketara sekali.

Mereka rela membayar yuran persekolahan anak-anak hingga berpuluh-puluh ringgit untuk menjamin kejayaan masa depannya.

Bagaimana pula halnya kalau kita bertanya tentang kemajuan pendidikan rohani khususnya kemampuan anak-anak untuk membaca al-Quran dan menulis tulisan jawi.

Jawapannya adalah amat mengecewakan. Boleh dikatakan majoriti belia kini tidak tahu membaca jawi. Jika boleh pun bacaan mereka merangkak-rangkak.

Para ibu bapa tidak sedikit pun merasa runsing dan bimbang dengan anak-anak mereka yang tidak boleh membaca jawi dan tidak tahu membaca al-Quran. Sumbangan ibu bapa terhadap perkembangan rohani anak-anak mereka adalah begitu rendah sekali.

Hati mereka merasa begitu berat untuk memberi sumbangan atau hadiah kepada tok-tok guru yang mengajar al-Quran anak-anak mereka.

Namun, mereka tidak memprotes atau bersungut tentang kadar yuran tuisyen anak-anak yang begitu tinggi.

Melihat kepada keadaan ini, satu persoalan boleh diketengahkan. Apakah sikap ibu bapa sebegini boleh dianggap sebagai ibu bapa yang amanah dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yang dianugerahkan Allah itu?

Sedarkah para ibu bapa bahawa pendidikan sekular sedikit sekali dapat membantu dan menjamin hidup yang bahagia kepada anak-anak mereka di akhirat kelak.

Sesungguhnya anak yang baik akan membawa manfaat kepada ibu bapanya. Dia akan meneruskan perjuangan ibu bapanya dan menolong mereka sesudah tua.

Setelah ibu bapa meninggal dunia, anak itu akan mendoakannya dan meminta ampunkan dosanya.

Menyedari hakikat bahawa sifat amanah adalah semulia-mulia sifat di sisi Allah SWT, maka menganggap barang amanah dengan sambil lewa dan cuai dikira sebagai satu perbuatan mencuri. Hukumannya adalah berdosa besar.

Oleh itu awasilah anak dengan sebaik mungkin kerana anak adalah amanah Allah.

utusan malaysia 20/5/10

Tuesday, May 18, 2010

Hati Nabi SAW dibersihkan

Hati Nabi SAW dibersihkan

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

ISRAK dan Mikraj mencatatkan banyak peristiwa penting yang ditempuhi dan dilihat oleh Rasulullah SAW. Semuanya diperlihatkan kepada baginda dengan jelas, bukannya untuk tatapan mata semata-mata.

Sesetengah riwayat mengatakan pada malam tersebut, nabi SAW berada di samping Kaabah sebelum dikejutkan oleh malaikat Jibrail untuk mengajak baginda menempuh peristiwa ini.

Ada yang mengatakan baginda sebenarnya berada di rumah isterinya, Ummu Hani sebelum dibawa ke Kaabah.

Di situ baginda dikatakan menjalani proses pembersihan hati seperti yang pernah dilalui sewaktu kanak-kanak, iaitu sewaktu dalam jagaan ibu susuannya, Halimatussaadiah. Mungkin juga proses ini adalah pertama dilalui baginda.

Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibrail (dikatakan malaikat Mikail juga turut serta dalam proses itu) lalu dikeluarkan hati yang kemudiannya dicuci dengan air zamzam dan dibuang ketul hitam daripada hati tersebut.

Ia disebut juga sebagai 'alaqah, ketulan yang menjadi tempat syaitan membisikkan godaan dan menimbulkan perasaan was-was terhadap manusia.

Setelah selesai dada baginda dicantumkan semula dan diletakkan khatimun nubuwwah sebagai cap kenabian baginda.

Baginda kemudiannya menaiki kenderaan khas dari syurga, iaitu Buraq untuk melalui perjalanan jauh tetapi perlu dihabiskan dalam satu malam.

Dengan ditemani malaikat Jibrail yang menjelma sebagai manusia, baginda memulakan perjalanan ke Baitulmaqdis, di Palestin untuk ke Masjid al Aqsa.

Namun di beberapa tempat dikatakan baginda diarah berhenti dan sembahyang sunat dua rakaat.

Antara tempat-tempat berkenaan adalah:

l Negeri Thaibah (Madinah atau Yathrib), iaitu negara yang bakal baginda melakukan hijrah dan mendirikan negara Islam pertama di sana.

l Bukit Tursina, Mesir iaitu lokasi Nabi Musa a.s menerima dan bertemu dengan Allah.

l Baitul Laham, tempat Nabi Isa a.s dilahirkan oleh ibunya Siti Maryam.

Sepanjang perjalanan ke Masjidil Aqsa ini iaitu dalam kederasan Buraq, baginda diperlihatkan dengan pelbagai gambaran antara langit dan bumi, antaranya:

l Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah diberitahu Jibrail: "Itulah kaum yang berjihad fisabilillah yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

l Baginda juga terbau yang sangat harum. Jibrail memberitahu: "Itulah bau dari kubur Mashitah (tukang sikat rambut anak-anak Firaun) bersama suaminya dan anak-anak mereka (termasuk bayi yang dapat bercakap meminta dirinya dicampakkan ke dalam kawah minyak yang menggelegak panas untuk menguatkan iman si ibu) yang kesemuanya dibunuh oleh Firaun kerana tidak mengakui Firaun itu tuhan kerana keimanan yang teguh terhadap Allah".

l Sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka akan bercantum, lalu dipecahkan lagi. Jibrail memberitahu nabi: "Itulah mereka yang berat kepala untuk bersujud (solat)".

l Sekumpulan manusia lagi, yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Lalu diberi makan api dan batu dari neraka jahanam. Rasulullah diberitahu, itu adalah balasan kepada mereka yang tidak mengeluarkan zakat harta.

l Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: "Wanita yang sangat tua itu merupakan gambaran umur dunia ini yang sangat tua dan hanya menantikan saat-saat untuk berlaku kiamat sahaja".

Terdapat pelbagai peristiwa lain yang disaksikan oleh baginda yang kebanyakannya adalah gambaran sebenar terhadap balasan-balasan Allah terhadap amalan-amalan hambanya di muka bumi ini.

Semua gambaran itu wajar menjadi iktibar kepada kita kerana segala yang dijanjikan oleh Allah adalah benar dan tidak ada sesiapa yang akan terlepas.

Baginda akhirnya tiba di Masjid Al Aqsa lalu ditambatnya Buraq pada dinding masjid tersebut yang kini dikenali sebagai The Wailing Wall (Tembok Menangis) sebagai tanda kesedihan kaum Yahudi apabila Baitul Maqdis pernah jatuh ke tangan orang Islam. Sehinggalah mereka berjaya merampas semula pada tahun 1967 lalu dijadikan tempat ibadat yang penting bagi kaum itu.

Mereka juga mendakwa bahawa di sebalik tembok ini merupakan sebahagian tapak kuil Nabi Sulaiman dan kerja-kerja menggali terowong sedang digiatkan dijalankan bagi membuktikan dakwaan mereka itu.

Lalu apa yang berlaku pada malam itu di dalam masjid Al Aqsa yang sangat suci dan mulia itu, adalah satu perhimpunan yang sangat luar biasa sifatnya.

Dengan segala kekuasaan yang Allah miliki lalu dihidupkan semua para rasul dan nabi untuk bertemu Nabi Muhammad SAW. Para ulama menganggarkan perhimpunan itu melibatkan seramai 313 para rasul dan 24,000 nabi.

Baginda kemudiannya mengimamkan sembahyang sunat dua rakaat bersama-sama para rasul dan nabi. Ia satu jemaah sembahyang dan perhimpunan yang tidak berulang di bumi ini sebagai tanda kemuliaan yang sangat tinggi kepada Nabi SAW sebagai penghulu kepada semua rasul dan nabi.

Selepas selesai perhimpunan itu, lalu Jibrail datang membawa satu bekas susu dan satu bekas arak kepada Nabi SAW. Lalu baginda pilih susu untuk diminum.

Jibrail pun berkata: "Kamu membuat pilihan yang betul. Jika arak yang kamu pilih nescaya ramai umat kamu yang akan sesat".

Seusai itu maka bermulalah satu lagi detik yang amat bersejarah apabila tiba masanya nabi SAW diangkat ke langit untuk peristiwa mikraj pula.

Peristiwa itu membolehkan baginda menemui Allah di Sidratul Muntaha yang tiada siapa dapat mempertikaikan kebenaran pertemuan itu.

Sehingga di saat itu tugas Buraq tidak diperlukan lagi kecuali dikatakan baginda diangkat dan kemudiannya menaiki tangga yang indah dari syurga.

Nabi Muhammad dan Jibrail pun menaiki tangga ke pintu langit dunia (Pintu Hafzhah) dan sejurus melangkah masuk ke pintu langit pertama itu, baginda menemui seorang lelaki yang sosok tubuhnya sangat tinggi iaitu 20 meter.

Rasulullah melihatnya, lelaki itu akan tersenyum apabila menoleh ke kanan dan akan menangis sebaik sahaja dia menolehkan kepala ke kiri.

Siapakah lelaki itu dan mengapa dia senyum dan menangis tiap kali menolehkan kepalanya itu?

bersambung

utusan malaysia 19/5/10

Ummu Abdullah pandai didik anak

Ummu Abdullah pandai didik anak

UMMU Abd binti Abd. Wadd bin Suway al-Hazaliyah adalah ibu kepada Abdullah bin Masud. Dia lebih dikenali dengan panggilan Ummu Abdullah.

Abdullah bin Masud adalah sahabat Nabi Muhammad yang pintar dan cerdas. Dia merupakan orang pertama yang membaca al-Quran dengan kuat di Mekah.

Ummu Abdullah merupakan seorang ibu yang pandai mendidik anaknya. Berkat didikan seorang ibu, Abdullah menjadi seorang anak yang jujur, amanah, pintar dan baik budi pekertinya.

Pada suatu hari, datang Nabi Muhammad dan Abu Bakar ke tempat Abdullah berada. Pada masa itu dia masih kecil dan mengambil upah mengembala kambing milik Uqbah bin Abi Muith.

Nabi Muhammad dan Abu Bakar telah dikejar oleh orang kafir Quraisy. Tiba-tiba mereka berasa penat dan ingin berhenti rehat. Mereka terasa lapar dan dahaga. Ketika itu mereka ternampak seorang anak kecil, iaitu Abdullah sedang menggembala kambing.

Abu Bakar segera ke tempat Abdullah lalu bertanya: "Wahai budak kecil, adakah sedikit susu untuk kami minum. Kami berdua berasa lapar dan dahaga."

Lantas Abdullah menjawab: "Kambing ini telah diamanahkan kepada saya untuk menjaganya. Saya tidak mempunyai hak untuk memberi tuan berdua minum susu kambing ini. Maafkan saya."

"Bagus sungguh budi pekerti budak ini. Dia seorang yang jujur dan amanah," bisik Abu Bakar sendirian.

Nabi Muhammad pergi menghampiri Abdullah lalu bertanya: "Wahai anak kecil, adakah awak mempunyai seekor kambing betina yang belum berkahwin dengan kambing jantan."

Abdullah pun menjawab: "Ada. Saya ada seekor kambing betina yang masih muda. Nanti saya bawakan kambing itu kepada tuan."

Abdullah segera mengambil kambing betina lalu menyerahkan kepada Nabi Muhammad. Nabi mengusap puting kambing betina itu lalu berdoa dengan beberapa ayat al-Quran. Dengan izin Allah, kantung susu kambing itu mulai penuh.

"Tuan, biar saya sahaja yang perah susu kambing itu," kata Abu Bakar kepada Nabi Muhammad.

Kemudian Abu Bakar mengambil sebuah bekas bagi menampung susu kambing itu. Abu Bakar minum susu kambing tersebut sehingga puas. Kemudian dia memberikan Nabi Muhammad minum susu kambing itu.

"Lega rasanya selepas menikmati susu kambing ini. Rasa bertenaga kembali badan saya ini," kata Abu Bakar.

Nabi Muhammad tersenyum melihat gelagat Abu Bakar.

"Alhamdulillah, dapat juga kita minum susu kambing ini. Semoga Allah merahmati rezeki yang kita dapat pada hari ini," kata Abu Bakar kepada Nabi Muhammad.

"Wahai anak kecil, saya ucapkan terima kasih kepada awak kerana memberikan kami susu dari kambing betina itu tadi. Awak seorang budak yang baik," kata Abu Bakar kepada Abdullah.

Sebentar kemudian, Abdullah datang menghampiri Nabi Muhammad. Abdullah pun bertanya: "Wahai tuan, bolehkah tuan ajar kepada saya ayat-ayat al-Quran?"

Kemudian Nabi Muhammad pun berkata kepada Abdullah: Sesungguhnya awak adalah budak yang pintar."

Akhirnya Abdullah diajar membaca 70 surah. Dia terus menghafal kesemua surah tersebut dengan baik.

"Terima kasih kerana mengajar saya membaca al-Quran," kata Abdullah.

Ekoran didikan sempurna yang diberikan kepada Abdullah, Nabi Muhammad begitu menghormati Ummu Abdullah.

Sifat mereka anak-beranak menjadi perhatian dan pujian Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad pernah berkata: "Sesiapa yang ingin membaca al-Quran seperti mana ia diturunkan, maka ikutilah bacaan Abdullah bin Masud."

Ummu Abdullah sangat beruntung kerana menjadi ibu kepada seorang sahabat Nabi Muhammad.

Sepanjang hidupnya, dia juga mendapat penghormatan dari khalifah Umar al-Khattab.

Peristiwa itu berlaku semasa majlis pengkebumian anak Ummu Abdullah iaitu Utbah bin Masud.

Umar al-Khattab sanggup menunggu kedatangan Ummu Abdullah sebelum jenazah anaknya disembahyangkan. Ummu Abdullah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab.

Utusan Malaysia 18/5/10